TUAH ARGENTINA, BISA BELGIUM


Seperti dijangka kesemua juara kumpulan berjaya melepasi halangan pusingan kedua Piala Dunia ini.
Kemaraan Argentina dan Belgium selepas menewaskan lawan masing-masing melengkapkan 8 pasukan terbaik ke peringkat suku akhir Piala Dunia dan seperti dijangka kesemua juara kumpulan berjaya melepasi halangan pusingan kedua Piala Dunia ini.

Argentina menundukkan Switzerland menerusi jaringan lewat Angel Di Maria pada babak kedua saingan masa tambahan buat menyelamatkan maruah pasukan kendalian Alejandro Sabella yang jelas bergelut untuk menewaskan skuad kendalian Ottmar Hitzfeld.

Ternyata kelibat Lionel Messi mencipta impak cukup positif apabila daripada tujuh gol yang dihasilkan Argentina, lima adalah sumbangan ataupun bantuan daripadanya, sekali gus memperkukuh andaian betapa di bahunya Argentina amat bergantung  harap.


Sungguh bertuah Argentina memiliki pemain yang ada kemampuan luar biasa sebegitu. Lebih penting, persembahan Messi ketika ini lebih baik berbanding 4 tahun lalu di Afrika Selatan apabila pemenang Anugerah Ballon d’Or sebanyak empat kali itu gagal menyumbang sebarang gol dan hanya membantu 2 gol buat rakan.

Wibawa Messi pada Piala Dunia di Brazil ini memang sukar dinafikan dan selaku kapten, Messi kini memainkan peranan untuk menghidupkan harapan Argentina mampu beraksi di final untuk menamatkan rentetan aksi kurang memberangsangkan sejak 20 tahun lalu.

Menanti Argentina di suku akhir nanti ialah Belgium yang menyingkirkan Amerika Syarikat dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku..

Generasi emas Belgium ini miliki pakej lengkap untuk menjadi kuasa baru bola sepak dunia dan skuad kendalian Marc Wilmots pada Piala Dunia kali ini tidak bergantung dengan hanya seorang pemain untuk mengubah permainan.

Eden Hazard, Romelu Lukaku, Vincent Kompany serta Daniel Van Buyten  antara nama besar yang membarisi skuad Belgium dan berdasarkan pendekatan permainan yang diterapkan Wilmots ternyata Belgium memiiki kemampuan menundukkan mana-mana lawan dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Memperbaiki rekod 28 tahun untuk beraksi di suku akhir sememangnya pencapaian cukup cemerlang dan berdasakan rekod tanpa kalah empat perlawanan ketika ini tidak mustahil Argentina mampu disingkirkan Belgium untuk beraksi di peringkat separuh akhir Piala Dunia..
0 Komentar untuk "TUAH ARGENTINA, BISA BELGIUM"

 
Copyright © 2014 TUMPANG LALU - All Rights Reserved
Template By Catatan Info