Siapa menyangka pasukan Algeria mampu sampai ke pusingan kalah mati, malah gergasi Eropah seperti Jerman terpaksa menunggu sehingga masa tambahan untuk menumpaskan Algeria pada pusingan itu.
Walaupun Algeria tewas, namun penjaga gol mereka Rais M'Bolhi yang beraksi cemerlang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Rais yang bermaksud pemimpin dalam bahasa Arab berkata:"Tiada siapa percaya kami sampai ke peringkat ini."
Ini adalah kali pertama Algeria berjaya mara ke peringkat kalah mati selepas tiga kemunculan di Piala Dunia sebelum ini. Pada 1982, 1986 dan 2010, Algeria tidak pernah lepas daripada peringkat kumpulan.
"Kami telah mencatat sejarah dalam bola sepak Algeria," kata pemain yang mungkin menjadi ingatan penyokong, apabila turut menyerlah sebelum kejohanan bermula.
Empat tahun lalu di Afrika Selatan, dia berjaya mengekalkan rekod bersih seri 0-0 menentang England dan hanya bolos satu gol dalam dua perlawanan apabila Landon Donovan menjaringkan gol kemenangan 1-0 Amerika Syarikat di masa tambahan.
Menentang Jerman, pemain CSKA Sofia itu terus mampu mengekalkan "hidup" Algeria selepas menyelamatkan gawang beberapa kali, sebelum Algeria terpaksa mengaku kalah di masa tambahan.
Aksi cemerlang Rais bermula ketika dia menepis bola rembatan jarak jauh daripada Schweinsteiger. Di minit ke-55, Lahm pula melepaskan rembatan deras dengan memaksa Rais menepis menggunakan hujung jarinya. Antara aksi genting lain di depan gawang Algeria adalah pada minit ke-80, ketika Rais menghalang tandukan jarak dekat daripada Mueller.
"Saya agak tidak pasti apa kekurangan pada kami," kata Rais. "Kami akhirnya bolos dua gol. Saya tidak tahu. Kami merasakan ada sesuatu yang perlu dilakukan walaupun kami bermain dengan pasukan yang hebat seperti Jerman."
0 Komentar untuk "SEJARAH BAHARU ALGERIA, RAIS HARUS DIKENANG"